KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, berhubung tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu memfailkan afidavit tersebut menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co. di Mahkamah Tinggi pada 21 Mei lalu.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi surat kepada Mahkamah Tinggi bertarikh 23 Mei lalu, membantah afidavit yang diikrarkan Wan Rosdy.
“Pemohon (Najib) mempunyai tanggungjawab sebagaimana Aturan 53 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memastikan afidavit yang mengesahkan fakta menyokong permohonan semakan kehakiman mendedahkan kesemua fakta material dan butiran penting difailkan dari awal permohonan dibuat.
“Permohonan itu dibuat terlampau lewat setelah pihak pemohon dan Peguam Negara memfailkan hujahan bertulis dan berhujah secara lisan di mahkamah pada 17 April 2024.
“Ia juga mengambil kira bahawa mahkamah menetapkan tarikh keputusan bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman ini pada 5 Jun ini,” katanya.
Najib, 71, selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonan dalam sistem carian mahkamah, Najib berkata, jika Titah Adendum itu wujud, kesemua atau salah seorang responden diarahkan untuk melaksanakan titah Yang Di-Pertuan Agong ke-16 itu dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya yang diketahui di Kuala Lumpur.
Ia yang mana Najib akan menjalani hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Najib juga memohon satu perintah supaya kesemua atau salah seorang responden memberikan salinan Titah Utama dan Titah Adendum yang dititahkan Al-Sultan Abdullah pada 29 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE