fbpx

Rexy sukar terima aksi dua beregu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE Wei (depan) didakwa gagal mengawal permainan di jaring yang menjadi punca kegagalan ke separuh akhir. - SHIDDIEQIIN ZON

AKSI longlai ditampilkan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters dianggap sebagai sesuatu yang sukar diterima.

Pada kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu, Aaron-Wooi Yik tersingkir di suku akhir selepas tewas 21-11, 19-21, 19-21 kepada beregu No.34 dunia dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula akur dengan kekalahan 11-21, 19-21 kepada beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai di separuh akhir kelmarin.

Kegagalan dua beregu yang berada dalam program Road to Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu nyata mengundang resah Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Beliau berkata, kedua-dua beregu itu sepatutnya memanfaatkan peluang untuk merangkul kejuaraan menerusi ketiadaan pemain ternama dunia selain turun dengan status sebagai pilihan utama kejohanan.

“Kita harus berterus terang, kekalahan Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Aaron-Wooi Yik seharusnya menang. Set pertama tidak ada masalah tetapi set kedua kita lihat mereka seperti orang yang tiada semangat, bermain macam tidak ada niat untuk dapat mata.

“Saya kecewa bukan disebabkan mereka kalah kepada pasangan Korea tetapi kerana akibat kesilapan sendiri. Aksi mereka secara keseluruhan, saya boleh beri lima atau enam daripada 10 markah,” katanya.

Berhubung kekalahan Tang Jie-Ee Wei di separuh akhir, beliau tanpa berselindung mengakui anak-anak buahnya itu gagal bermain seperti biasa selain banyak melakukan kesilapan yang menguntungkan pemain lawan.

“Tang Jie-Ee Wei pula bermain sangat teruk di separuh akhir. Kita tidak nampak satu kombinasi sebagai satu pasukan antara mereka, khususnya Ee Wei yang gagal mengawal permainan di jaring,” ujar Rexy.

Dalam pada itu, beliau percaya beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah sepatutnya layak ke final, namun tewas 16-21, 11-21 kepada pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI