SEJAK berada di bawah bimbingan ketua jurulatih, Wong Tat Meng yang menyertai Team LZJ pada Mei tahun lalu, prestasi perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sudah mula menunjukkan peningkatan.
Keadaan itu pastinya memberi petanda positif buat kontinjen Malaysia dalam misi memburu pingat emas Olimpik pertama menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Terbaharu, Zii Jia melayakkan diri ke final kedua berturut-turut musim ini selepas layak ke perlawanan akhir Malaysia Masters semalam, namun tewas 6-21, 22-20, 13-21 kepada jaguh Denmark, Viktor Axelsen.
Bekas juara Asia dan All England itu menganggap latihan yang diberikan Tat Meng sudah mula membuahkan hasil, sekali gus memberikan keyakinan kepadanya untuk menuai kejayaan di bumi Paris nanti.
“Saya sudah cakap sebelum ini ketika melantik Tat Meng bahawa beliau merupakan seorang yang berpengalaman selain pernah menjadi jurulatih di dalam dan luar negara.
“Beliau sudah melalui banyak budaya badminton yang berbeza. Pengalaman serta pemikiran yang ada pada beliau akan digunakan sebaiknya untuk bantu saya capai matlamat di Olimpik,” katanya.
Kekalahan kepada Axelsen menyaksikan Zii Jia kempunan untuk memenangi dua kejuaraan berturut-turut memandangkan minggu lalu dia baru sahaja meraih gelaran pertamanya musim ini pada Terbuka Thailand.
Pemain dari Alor Setar, Kedah itu percaya dia masih perlu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, lebih-lebih lagi dia mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh dua minggu ini.
“Apa yang perlu diperbaiki lagi mungkin dari segi fizikal kerana dalam tempoh dua minggu ini, saya bertemu ramai pemain dan bermain banyak perlawanan. Saya masih mencari rentak terbaik untuk kembali berada di atas,” ujar Zii Jia.
ZII JIA