PORT MORESBY – Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat selepas tanah runtuh memusnahkan sebuah kampung di Papua New Guinea(PNG), dalam tragedi yang mengorbankan kira-kira 670 orang, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) hari ini.
Perkampungan terpencil di wilayah Enga itu hampir musnah sepenuhnya apabila lereng Gunung Mungalo runtuh pada Jumaat lepas, menimbus banyak rumah dan penduduk yang sedang tidur.
“Sudah tiga hari dan tujuh jam sejak bencana melanda. Jadi secara dasarnya, kami berlumba dengan masa tetapi sejauh mana kita dapat memindahkan penduduk ke tempat selamat adalah isu lain,” kata pegawai agensi migrasi PBB. Serhan Aktoprak.
Menurutnya, pasukan penyelamat turut bekerja dalam situasi berbahaya.
“Batu-batu terus jatuh dan tanah bergerak. Keadaan menjadi lebih buruk kerana air bawah tanah mengalir di bawah runtuhan,” kata Aktoprak.
Kata pegawai berkenaan, kira-kira 250 rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi bantuan dan pemimpin tempatan pada mulanya khuatir antara 100 hingga 300 orang berisiko terkorban di bawah lumpur dan runtuhan merentasi kawasan seluas hampir empat padang bola sepak.
“Bagaimanapun, anggaran jumlah korban terus meningkat kepada 670 orang selepas pemimpin tempatan dan petugas kecemasan menilai semula saiz komuniti yang tinggal di sana,” tambahnya.
Terdahulu, seorang guru sekolah di sebuah kampung berdekatan, Jacob Sowai berkata, lebih 2,000 orang tinggal di zon bencana itu.
“Tiada siapa sempat melarikan diri. Sangat sukar untuk mengumpul maklumat. Kami tidak tahu siapa yang mati,” katanya kepada AFP.
Orang ramai dari kampung-kampung sekitarnya berusaha membantu untuk mengeluarkan mayat mangsa cungkil mayat, kata seorang pemimpin tempatan, Nickson Pakea.
Mereka menggunakan penyodok dan alatan lain. Ini selepas jentolak dan jentera berat lain mengalami kelewatan untuk tiba di lokasi bencana kerana terpaksa melalui kawasan yang dibelenggu perbalahan puak. – AFP