PETALING JAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyeru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 supaya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, mereka boleh berbuat demikian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta, politeknik atau kolej komuniti.
“Rujuk laman Kementerian Pendidikan Tinggi untuk makluman lanjut. Bersyukur dan jangan putus asa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara membuka permohonan pinjaman pelajaran untuk calon SPM 2023 yang cemerlang bermula hari ini.
Jelasnya, pinjaman pengajian Mara itu adalah untuk lepasan SPM yang mahu menyambung belajar di IPT dalam dan luar negara terpilih. – KOSMO! ONLINE