fbpx

Matrix Concepts rekod untung RM251 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Haslah (kanan) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) merekodkan untung bersih 21.3 peratus lebih tinggi kepada RM251.4 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (TK2024), didorong permintaan kukuh untuk portfolio hartanahnya yang pelbagai.

Angka tersebut merupakan keuntungan bersih kedua tertinggi Kumpulan sejak penyenaraiannya, selain melepasi sasaran keuntungan sebanyak RM230 juta bagi TK2024.

Hasil meningkat 20.4 peratus kepada RM1.34 bilion berbanding RM1.11 bilion tahun sebelumnya, disokong oleh pengiktirafan hartanah kediaman dan komersial, ditambah penjualan hartanah industri dan peningkatan sumbangan daripada bahagian pendidikan dan hospitaliti.

Kumpulan turut merekodkan sumbangan keuntungan sulung sebanyak RM5 juta dalam yuran pengurusan pada separuh kedua TK2024 daripada bahagian penjagaan kesihatannya, iaitu Pusat Perubatan Mawar (MMC) di Seremban.

Pembangunan hartanah Kumpulan terus menunjukkan prestasi baik, dengan jualan hartanah baharu mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 3.6 peratus kepada RM1.25 bilion berbanding RM1.2 bilion tahun sebelumnya.

Pada 31 Mac 2024, jualan belum dibil Kumpulan berjumlah RM1.2 bilion, menyediakan laluan yang jelas untuk pendapatan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 2.5 sen untuk membawa kepada jumlah dividen 10 sen sesaham bagi TK2024, bersamaan pembayaran sebanyak RM125.1 juta, atau 50.5 peratus daripada keuntungan selepas cukai.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi mantap Matrix Concepts, ditambah kadar pengambilan kukuh secara konsisten melebihi 80 peratus merentasi pelbagai pembangunannya menggariskan daya tahan Kumpulan dengan model perniagaan yang memfokuskan pelanggan.

“Kedudukan kewangan kukuh dengan saluran pendapatan yang pelbagai telah mengukuhkan jenama dan kedudukan pasaran kami, membuka jalan untuk pertumbuhan utama kami yang seterusnya, iaitu pembangunan perbandaran seluas 1,383 ekar (560 hektar) di Malaysia Vision Valley (MVV).

“Dengan anggaran tempoh pembangunan tujuh hingga 10 tahun dan unjuran nilai pembangunan kasar RM7 bilion, MVV mewakili peluang Kumpulan untuk melakukan transformasi dan meningkatkan hasil sebanyak lebih 30 peratus pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI