PETALING JAYA – Kumpulan Dolla tidak mengambil pusing mengenai kenyataan ‘junior’ mereka, SMDX yang mengatakan tidak mengenali mereka.
Sabronzo, 29, berkata, perkara tersebut tidak perlu diperbesarkan selain mengatakan Dolla masih lagi kumpulan penyanyi baharu yang belum mencapai seluruh rakyat Malaysia.
Malah, dia juga mengakui SMDX masih baharu dalam industri dan perlu memberi peluang untuk belajar tentang industri hiburan tempatan.
Tak salah kalau ada yang tak kenal Dolla. Itu akan membuatkan kami akan berusaha keras untuk menghasilkan ebih banyak lagu dan kandungan untuk peminat.
“Pada kami, tiada masalah kerana mereka juga masih baharu dalam industri ini. Harap pada masa depan dia akan dapat belajar. Semoga berjaya pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar konsert Dolla Re:Birth The Experience di ibu kota hari ini.
Dalam pada itu, Dolla turut menasihatkan agar kelab peminat mereka, iDolla tidak saling bergaduh dalam media sosial atau memanjangkan lagi hal tersebut.
Kata Tabby, Dolla sentiasa menghargai sokongan yang diberikan peminat selain berusaha untuk memberikan yang terbaik buat peminat.
“Terima kasih kerana menyokong kami. Kami amat menghargai, tetapi peminat tidak perlu bergaduh sebab industri kita ini kecil dan tak perlu keruhkan keadaan.
Kami sentiasa memberi sokongan kepada sesiapa saja. Ada banyak lagi perkara baik boleh diperkatakan. Kami juga tiada masalah untuk menjalin kerjasama pada masa akan datang jika kerjasama itu memberi impak positif,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan asal Sabah, SMDX itu dikecam teruk netizen susulan kenyataan seorang anggotanya, Elle Thong yang didakwa berlagak apabila menyatakan tidak mengenali Dolla.
Tindakan mulut lancangnya membuatkan peminat tegar Dolla, iDolla tersinggung sehingga pelbagai kecaman ditinggalkan ramai di ruangan komen video TikTok gadis terbabit.
Dalam video tersebut, Elle seolah-olah tidak pernah mendengar nama Dolla yang juga kumpulan wanita paling popular ketika ini.
Begitupun, syarikat rakaman SMDX, XIOKK Entertainment tampil membuat permohonan maaf atas keterlanjuran kata artis naungannya selain menyentuh beberapa isu sampingan lain termasuk imej seksi. – KOSMO! ONLINE