PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui cukup sebak mengenang pertemuan singkat ketika melawat bintang sensasi Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbah asid di hospital baru-baru ini.
Menurut Pan-gon, sukar untuk menerima kenyataan selepas melihat keadaan Faisal yang melecur tahap empat sehingga terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital pada Sabtu lepas.
“Kejadian itu adalah satu perkara yang sukar untuk dilupakan. Bukan mudah untuk saya melihat Faisal (dari luar bilik) dalam kesakitan seperti itu dan tiada kata-kata yang boleh saya ungkapkan penderitaan ditanggung Faisal.
“Ketika melawatnya, saya tidak dapat melihat wajah dan badannya (secara dekat) kerana dalam keadaan yang kurang baik dan kami juga tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain.
“Secara peribadi, saya percaya bola sepak sepatutnya menjadi sukan yang selamat dan kita perlu melindungi pemain daripada bahaya,” katanya, ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Seramai 18 dari 26 pemain yang dipanggil telah melaporkan diri pada hari pertama dengan kesemua pemain dari Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC hanya sertai kem latihan dalam masa terdekat.
Skuad Harimau Malaya sedang giat melakukan persiapan sebelum harungi aksi Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun depan. – KOSMO! ONLINE