PETALING JAYA – Keterangan kolumnis, Andrew Sia berhubung penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem ‘apartheid’ masih belum diambil ekoran sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Andrew kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) selepas pembedahan di kaki akibat jangkitan kuman sejak 2 April lalu.
“Bagaimanapun, pihak polis akan mengambil keterangan dari sebuah portal berita dalam talian kira-kira pukul 10 pagi esok.
“Sebanyak 60 laporan diterima setakat ini yang mana terdapat penambahan 22 laporan daripada 28 laporan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, Razarudin mengesahkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan ke atas kolumnis, Andrew Sia berhubung penulisannya.
Siasatan itu dibuat selepas polis menerima 14 laporan polis membabitkan isu terbabit di seluruh negara.
Laporan pertama diterima dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik berusia 37 tahun petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Lelaki terbabit menyedari artikel bertajuk Our Apartheid Academy, UiTM yang dimuat naik di sebuah portal ketika berada di sebuah hotel.
Individu bernama Andrew Sia memberi komen berkenaan protes oleh pelajar Bumiputra ke atas beberapa pelajar bukan Bumiputra yang diterima masuk bagi jurusan cardiothoracic surgery di UiTM.
Semakan mendapati artikel itu dimuat naik pada 22 Mei lalu pukul 10.30 pagi di laman portal terbabit.
Polis juga akan memohon profiling dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan butiran penulis untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.-KOSMO! ONLINE.