BANDAR RAYA HO CHI MINH – Durian mini dari Thailand dijual separuh harga berbanding tahun lalu di Vietnam, lapor portal berita VnExpress kelmarin.
Seorang penjual buah itu secara online yang dikenali sebagai Trang berkata, dia membeli sekitar 85 hingga 100 kotak mengandungi 20 biji durian mini di dalam setiap kotak pada sesuatu masa.
Dia kemudian menjual sebiji buah itu pada harga 65,000 dong(RM12) hingga 130,000 dong (RM24) sekilogram.
Seorang lagi penjual dikenali sebagai Thanh memberitahu, dia menjual sekitar 50 hingga 150 kilogram durian mini pada setiap hari.
Buah itu dihantar dari Thailand melalui Kemboja ke Vietnam, tambahnya.
Menurutnya, kini terdapat banyak bekalan durian mini di Vietnam .
Thanh juga berkata, walaupun harga durian mini lebih murah berbanding durian jenis Ri6 yang ditanam di Vietnam, pelanggan tidak seharusnya membelinya jika buah itu terlalu kecil kerana kualitinya adalah rendah. – AGENSI