fbpx

Dakwah kecil Amna untuk komuniti OKU pendengaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMNA

“SETIAP manusia adalah sebaik-baik ciptaan. Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada rupa, tetapi Dia memandang pada hati kamu.”

Itu merupakan kata-kata yang dipegang erat oleh Siti Ramna Khamaruddin sebagai penguat semangat dalam hidupnya.

Bagi anak jati Kuala Lumpur itu, dia gembira dapat berkhidmat membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran menerusi tugasnya sebagai jurubahasa isyarat ketika ini.

Mendekati Siti Ramna atau lebih mesra disapa Amna, 30, dia mula melakukan tugas mulia tersebut sejak lapan tahun lalu.

“Bermula tahun 2016, saya bantu menterjemahkan program dalaman di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), khususnya yang melibatkan tetamu dalam kalangan komuniti OKU pendengaran.

“Cinta itu mungkin jadi nombor dua, tetapi yang menjadi nombor satu adalah tanggungjawab fardu ain untuk saya sampaikan syiar Islam kepada mereka semampu yang boleh.

“Kedua, saya jatuh cinta kepada dakwah OKU ini kerana percaya ia merupakan ‘ladang’ pahala untuk akhirat nanti.

“Mudah-mudahan Allah reda dan terima,” katanya memulakan bicara bersama iGen.

AMNA (dua dari kiri) sering dijemput dalam program bual bicara yang dianjurkan oleh syarikat televisyen tempatan.

Dia yang kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM berkata, banyak program pernah disertainya sejak melibatkan diri dalam kelab sukarelawan dakwah, Sahabat Faqeh.

“Melalui kelab ini, banyak program yang dianjurkan bersama dengan Yayasan Pendidikan Al-Quran, antaranya program OKU Berdoa, Jom Dhuha, Kem Huffaz Remaja Pekak, Kursus Dakwah Tanpa Suara dan lain-lain.

“Alhamdulillah, kesemua program ini memberi impak mendalam kepada saya terutama dalam usaha mengembalikan hak OKU beragama dengan memberikan ruang serta peluang mengikut kelebihan serta kemampuan mereka,” katanya.

Disebabkan minat, Amna memberitahu, dia mempelajari bahasa isyarat secara sendiri menerusi platform seperti YouTube.

Ditebak mengenai pandangannya tentang komuniti OKU dan penerimaan mereka kepada Islam, Amna berpendapat, golongan itu mampu dipupuk dengan pendidikan agama sama seperti insan normal lain.

Namun ujarnya, ada sesetengah masyarakat mengambil kesimpulan bahawa golongan OKU tidak perlu diajar kerana stigma ‘anak syurga’ masih menebal dan dipegang oleh sebahagian ibu bapa.

“Hakikatnya, mereka sebenarnya boleh belajar cuma cara hendak ajar yang berbeza.

“Contohnya OKU pendengaran, kekuatan mereka terletak pada visual. Jadi, kena banyakkan bahan-bahan yang bervisual, guna bahasa isyarat selain perbanyakkan praktikal.

“OKU ini sebenarnya seronok kalau kita bantu mereka, terutamanya dalam mendapatkan hak pendidikan agama mereka.

“Insya-Allah dengan izin Maha Kuasa, mereka mampu faham apa yang kita sampaikan.

“Saya pernah jumpa OKU yang hafal 30 juzuk al-Quran, dan jujurnya saya sendiri rasa sangat malu kerana belum mampu untuk menghafal sepenuhnya biarpun normal,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan dirinya, Amna yang sering muncul di kaca televisyen dalam beberapa program bual bicara meminta agar semua pihak mendoakan perjalanan kembara ilmunya.

“Mohon kalian doakan saya, insya-Allah selepas ini saya rancang untuk mendalami ilmu al-Quran dan bahasa Arab.

“Hal ini supaya lebih mudah untuk saya menjelaskan dan berkongsi ilmu Islam kepada OKU pendengaran dan sesiapa sahaja hamba Allah di muka bumi ini,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI