PORT MORESBY – Papua New Guinea memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) bahawa lebih 2,000 orang tertimbus dalam tanah runtuh yang menenggelamkan sebuah kampung di pedalaman negara itu.
“Bencana tanah runtuh yang menenggelamkan Kampung Kampung Yambali di wilayah Enga itu menyebabkan lebih 2,000 orang tertimbus hidup-hiud dan menyebabkan kemusnahan besar,” kata pusat bencana kebangsaan kepada pejabat PBB di Port Moresby.
Terdahulu, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat.
Perkampungan terpencil di Enga itu musnah sepenuhnya apabila lereng Gunung Mungalo runtuh pada Jumaat lepas, menimbus banyak rumah dan penduduk yang sedang tidur.
“Sudah tiga hari dan tujuh jam sejak bencana melanda. Jadi secara dasarnya, kami berlumba dengan masa tetapi sejauh mana kita dapat memindahkan penduduk ke tempat selamat adalah isu lain,” kata pegawai agensi migrasi PBB. Serhan Aktoprak.
Menurutnya, pasukan penyelamat turut bekerja dalam situasi berbahaya.
“Batu-batu terus jatuh dan tanah bergerak. Keadaan menjadi lebih buruk kerana air bawah tanah mengalir di bawah runtuhan,” kata Aktoprak.
Kata pegawai berkenaan, kira-kira 250 rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga. – AFP