BERGELAR anak seni bukan mudah kerana suka atau tidak mereka dianggap ‘harta awam’ yang sentiasa menjadi tumpuan khalayak.
Hidup dalam dakapan kegemerlapan glamor, ada bayaran perlu dilunaskan apabila segala kisah diri menjadi sorotan ramai termasuk hal ‘dalam kain’.
Sama juga dengan kisah rumah tangga pelakon Hisyam Hamid yang awalnya menjadi tanda tanya.
Akhirnya, khabar angin tentang keruntuhan mahligai cinta yang dibina 20 tahun lalu kini sudah terjawab. Tentu sahaja tempoh itu satu jangka waktu lama yang mungkin sudah cukup untuk membuatkan mereka faham tentang asam garam berumah tangga.
Namun, takdir Tuhan itu berbeza apabila Hisyam atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdull Hamid, 39, mengesahkan bahawa dia bukan lagi suami kepada Rosmawati Hanafi.
Ingin menutup kisah perceraian itu serapat mungkin, namun jelas mustahil untuk Hisyam. Tuan badan membulatkan hati untuk menceritakan hal sebenarnya.
“Saya sebenarnya kalau boleh tidak mahu berkongsi kisah peribadi. Cukup sekadar kami sahaja yang tahu.
“Dalam temu bual sebelum ini ramai yang sudah dapat meneka apa maksud di sebalik kenyataan saya, cuma saya tidak selesa untuk menyatakan hal itu,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa cerita kurang enak yang menular dalam kalangan masyarakat turut membuatkan Hisyam membuka mulut.
Mengharapkan tindakannya dapat menjernihkan suasana dan tiada lagi cerita tidak berasas melibatkan rumah tangganya lagi. Hisyam berlapang dada dengan noktah perkahwinannya.
“Apa yang boleh dikatakan, kami tidak mempunyai masalah untuk berhubung. Kami tidak saling memarahi antara satu sama lain. Apa yang sudah terjadi itu biarlah berlalu.
“Sekarang ini saya lebih fokus kepada diri sendiri dan kerjaya. Macam anak saya juga sudah besar dan sambung belajar diploma dan mendapat biasiswa.
“Jadi kita fokus kepada benda positif seperti itu. Apa-apa yang pahit antara kami itu kita sudah tinggalkan di belakang,” ujarnya.
Hubungan profesional
Mengulas mengenai ikatan perkahwinan yang terputus, Hisyam tidak menyalahkan sesiapa perkara itu berlaku.
Malah, dia dan bekas isteri tetap menjaga baik hubungan profesional antara mereka di mana Rosmawati kekal sebagai pengurusnya.
Komunikasi antara mereka tetap ada, namun hanya terbatas atas urusan kerja.
“Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik, lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.
“Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.
“Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” jelasnya.
Biarpun menjalin hubungan baik, Hisyam bagaimanapun tidak berniat untuk bersikap tarik tali tatkala diajukan persoalan mengenai rumah tangganya.
Lebih senang memilih untuk membungkam, dia tidak mahu apa yang berlaku antara dia dan bekas isteri mampu memberi kesan emosi kepada anak-anak.
“Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.
“Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan pada mereka atau mereka tahu dari sumber lain,” katanya menutup bicara.
20 tahun melayari bahtera perkahwinan, Hisyam percaya bahawa dia dan bekas isteri mampu mendepani kehidupan lebih positif biarpun tidak lagi menjawat peranan sebagai pasangan suami isteri.
Semua itu dilunaskan demi anak-anak yang kian membesar dan mengerti makna kehidupan sebenar