KUALA LUMPUR – Impian Malaysia untuk menamatkan aksi final regu berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 lebih awal tidak berhasil apabila pasukan Thailand kembali mengikat kedudukan 1-1.
Regu kedua negara, Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) yang diturunkan pada perlawanan tersebut beraksi dengan cukup baik pada awal permainan namun dilihat melakukan sedikit kesilapan sebelum tumpas 8-15, 5-15.
Kemenangan trio kedua Thailand, Kritsanapong Nontakote (tekong), Wichan Temkort (apit kiri) dan, Pichet Pansan (apit kanan) terus membuka ruang kepada mereka mengheret perlawanan perlawanan ketiga.
Kini, Malaysia mengharapkan barisan regu ketiga negara menerusi Zuhri Zain (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Baihakki Arippin (apit kanan).
Sementara Thailand menampilkan Pornthep Tinbangbon (tekong), Marukin Phanmakon (apit kiri) dan Tanaphon Sapyen (apit kiri).
Malaysia ketika ini, dalam usaha melengkapkan hatrik kemenangan di pentas Piala Dunia Sepak Takraw selepas bergelar juara dunia dalam acara beregu dan regu pada Rabu lalu. -KOSMO! ONLINE