MELAKA – Selepas lapan hari, seekor buaya memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka di Sungai Malim berdekatan Kampung Tengah, Pulau Gadong di sini.
Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, penduduk mendakwa reptilia yang memasuki perangkap itu bukanlah buaya yang membaham seekor kambing milik penduduk pada 14 Mei lalu.
Beliau berkata, reptilia betina yang memasuki perangkap itu adalah spesies buaya tembaga berukuran 2.7 meter panjang dan berat dianggarkan 300 kilogram (kg).
Menurutnya, Perhilitan menerima panggilan daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Klebang Besar, Hamzah Ibrahim memaklumkan seekor buaya memasuki perangkap pada pukul 10.30 pagi.
“Seramai tujuh anggota Perhilitan dengan tiga kenderaan dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan haiwan itu dari perangkap.
“Anggota mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan dan mengikat buaya itu. Kerja itu selesai pada pukul 4 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Petra berkata, reptilia yang memasuki perangkap itu sihat dan akan dilepaskan di habitat asal di Sungai Linggi.
Perhilitan akan memasang semula perangkap pada Isnin ini kerana terdapat kerosakan berlaku pada pintu disyaki cubaan reptilia tersebut untuk melepaskan diri.
Perangkap sepanjang 4.5 meter dan 91.4 sentimeter lebar serta tinggi itu yang dipinjam dari Perhilitan Negeri Sembilan mula dipasang pada 18 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE