KUALA LUMPUR – Regu emas negara, Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) melakukan kejutan apabila bangkit mengatasi Thailand menerusi kemenangan 9-15, 15-11, 15-13 sekali gus meletakkan Malaysia didepan 1-0.
Pada aksi perlawanan di Stadium Titiwangsa tersebut, Thailand yang menurunkan trio terbaiknya yang dianggotai Siriwat Sakha (tekong), Poramet Siriswat (apit kiri) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) berjaya memberikan tentangan sengit untuk menang set pertama.
Bagaimanapun, pasukan negara tidak berdepan masalah untuk mengheret perlawanan ke set kedua sebelum bangkit melakar kemenangan pada set ketiga dalam perlawanan hampir dua jam.
Selepas ini, regu kedua negara Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) yang turun regu kedua Thailand, Kritsanapong Nontakote (tekong), Wichan Temkort (apit kiri) dan, Pichet Pansan (apit kanan).
Malaysia kini dalam usaha mencari kemenangan hatrik di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila bergelar juara dunia dalam acara beregu dan regu pada Rabu lalu. -KOSMO! ONLINE