TELUK INTAN – Seorang penunggang motosikal diburu selepas aksinya mencuri pakaian dalam wanita di sebuah rumah Taman Melor 2 di sini hari ini, tular dalam media sosial.
Kejadian pada pukul 3.24 pagi itu tular menerusi rakaman video berdurasi 34 saat yang memaparkan suspek mengambil pakaian dalam yang disidai di ampaian berhampiran pagar sebuah rumah.
Difahamkan, sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek turut meninggalkan mesej dipercayai nota berbaur lucah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan polis berkaitan insiden itu dibuat pengadu pada pukul 10.55 pagi.
“Suspek disyaki seorang lelaki warga tempatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 347/509 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE