KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan pelaksanaan subsidi bersasar melibatkan diesel akan diumumkan dalam masa terdekat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman tersebut akan dilakukan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, Perdana Menteri hanya merangka dasar berkaitan subsidi dan pihak lain yang akan melaksanakannya kelak.
“Menteri berkenaan khususnya Menteri Kewangan kedua akan memberikan penjelasan dalam masa singkat.
“Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri lakukan. Saya hanya beri gambaran kerangka besar dan nanti akan ada tindakan ada susulan.
“Sebab saya bezakan perkara dasar dan titik bengik (perkara tidak penting),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Era Pasca Normal Madani di Berjaya Times Square di sini hari ini.
Pameran yang bertempat di tingkat 10 kompleks beli-belah tersebut dibuka kepada orang ramai secara percuma sehingga 10 November depan. – KOSMO! ONLINE