GEORGE TOWN – Aktiviti mengurut yang tular melibatkan golongan lelaki dan wanita bukan mahram di sebuah program di negeri ini mendorong kepada perbuatan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kehidupan zaman kini dipenuhi dengan pelbagai pertentangan atau kontradiksi.
“Dari satu segi kita dapati minat orang ramai kepada agama dan komitmen mereka kepada hukum hakamnya semakin meningkat.
“Di sudut lain wujud pula fenomena sebaliknya yang mana sering tular di media sosial gambar atau video yang memaparkan individu dan kumpulan yang seolah-olah tidak cakna dengan hukum agama,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Lebih dikesali katanya, apabila tular video atau gambar yang memaparkan perbuatan ‘massage’ dengan jelas kelihatan wanita dengan selamba memicit atau mengurut tubuh lelaki, manakala lelaki pula memicit atau mengurut badan wanita.
“Mereka ini tidak segan silu melakukan perbuatan-perbuatan yang jelas dilarang Islam. Antara lain adalah pelanggaran batas pergaulan lelaki dan wanita seperti yang ditetapkan syariat.
“Sedangkan menurut hukum Islam berdasarkan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, adalah haram bagi lelaki dan wanita yang bukan mahram bersentuhan antara satu sama lain.
“Islam melarang keras umatnya menghampiri zina. Perbuatan tersebut boleh menghampirkan mereka yang terbabit kepada maksiat yang amat dimurkai Allah SWT,” ujarnya.
Tambahnya, beliau berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap tindakan atau perlakuan yang bertentangan dengan hukum agama. -KOSMO! ONLINE