fbpx

Misteri lelaki jubah putih sebabkan kemalangan geng konvoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOTOSIKAL dinaiki Mizi dan Liza terbabas selepas terserempak sekumpulan lelaki berjubah di laluan Gua Musang, Kelantan. – Ilustrasi SHAH HASSAN

SETIAP kali menyertai aktiviti konvoi, pasangan suami isteri itu sentiasa bersemangat kerana itu merupakan hobi mereka sejak zaman bercinta.

Pernah ke serata Malaysia dan Thailand, Mizi dan Liza (bukan nama sebenar) akan berkumpul bersama rakan-rakan untuk menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi hampir setiap minggu.

Namun, dalam keriangan berkonvoi, mereka juga pernah mengalami satu pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawa.

Menurut Mizi, kejadian tersebut berlaku sekitar dua tahun lalu ketika dia dan isteri menyertai aktiviti konvoi amal menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia.

“Berkonvoi memang menjadi aktiviti wajib buat saya dan isteri pada setiap minggu.

“Namun, itu merupakan kali pertama kami mengikuti program untuk jangka masa panjang.

“Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur bergerak ke arah utara sebelum memasuki Pantai Timur, selatan, seterusnya kembali ke ibu kota yang mengambil masa selama empat hari,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, semua perancangan berjalan lancar dan mereka memulakan perjalanan sekitar pukul 7 pagi dari Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Ceritanya, sepanjang perjalanan menjelajah ke bahagian utara, mereka telah menjalankan beberapa aktiviti amal seperti gotong-royong di masjid dan menziarah rumah anak yatim.

Selepas selesai program di utara tanah air, mereka memulakan perjalanan menuju ke arah Pantai Timur dengan menggunakan laluan Batu Gajah, Perak melalui Cameron Highland, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

Kongsi Mizi, sebelum memulakan perjalanan, isterinya sudah mula rasa tidak sedap hati dan menyatakan hal tersebut kepadanya.

“Awalnya, saya beranggapan bahawa apa yang dirasai oleh isteri itu mungkin disebabkan masalah pada motosikal kami kerana telah melewati perjalanan jauh.

“Oleh itu, kami pergi ke bengkel terlebih dahulu untuk membuat pemeriksaan sebelum melanjutkan perjalanan.

“Namun, semuanya baik-baik sahaja,” ujar lelaki berasal dari Taiping, Perak itu.

Katanya lagi, semasa perjalanan melalui Cameron Highland, isterinya sekali lagi mengatakan perihal sama, namun dia hanya beranggapan bahawa itu hanya mainan perasaan.

Ketika menjelang waktu maghrib, konvoi mereka tiba di kawasan Gua Musang yang di sekelilingnya hanya hutan.

Pada mulanya, mereka mahu berhenti seketika di surau berdekatan.

Namun, disebabkan mahu sampai awal di Kota Bharu, kumpulan konvoi itu memilih untuk meneruskan perjalanan.

Dalam perjalanan yang diketuai oleh Mizi dan Liza, mereka melihat ada kabus tiba-tiba muncul melintangi jalan raya.

Tidak merasa ada sesuatu yang aneh, mereka melewati kabus itu diikuti oleh rakan-rakan konvoi lain.

“Selepas melalui kabus itu, saya melihat sekumpulan lelaki berjubah putih berjalan di tepi jalan.

“Bulu roma saya tiba-tiba naik dan entah mengapa motosikal saya hilang kawalan.

“Kami berdua terbabas di tepi jalan sebelum pengsan.

“Kami hanya sedar selepas berada di hospital di Kota Bharu,” jelasnya.

Katanya lagi, dia mengalami patah tangan, manakala isterinya patah di kedua-dua belah tulang peha akibat kemalangan itu.

Rakan-rakan konvoi lain turut menemani mereka di hospital dan menceritakan apa yang berlaku.

Jelas Mizi, rakannya mengatakan bahawa kejadian itu berlaku tanpa mereka sedar.

“Sebelum kejadian, pasukan konvoi tidak melihat kami di hadapan serta menyangkakan kami sudah jauh di hadapan,” katanya.

Apabila Mizi menyatakan tentang kabus, rakan konvoi mereka memberitahu, tidak ada sebarang kabus sepanjang perjalanan dan hanya melihat motosikalnya terbabas di tepi gaung.

Hal itu membuatkan Mizi dan Liza berasa seram sejuk, namun bersyukur kerana Allah SWT masih melindungi dan memanjangkan umur mereka.

Semasa di hospital juga, Mizi ada diberitahu oleh seorang petugas bahawa lokasi kemalangan itu merupakan kawasan maut dan mereka berdua bernasib baik kerana terselamat.

Selepas kejadian itu, Mizi dan Liza berehat panjang daripada menyertai sebarang aktiviti konvoi untuk memastikan kecederaan mereka betul-betul sembuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI