KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada aksi final yang mendebarkan, pasangan suami isteri itu menundukkan beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dengan aksi straight set 21-18, 21-19, sekali gus menjadi kemenangan kedua mereka musim ini selepas memenangi Terbuka Switzerland Mac lalu.
“Sebenarnya, ini adalah impian saya untuk Terbuka Malaysia kerana setiap kali melihat negara lain mendapatkan kemenangan di sini, saya sering merasakan ingin merangkul kejuaraan di tanah air dan akhirnya kami berjaya.
“Untuk membawa pulang emas kembali kepada penonton dan keluarga kami yang hadir di sini hari ini, memang sesuatu yang tidak disangka,” kata Shevon yang ditemui sejurus tamat perlawanan.
Lebih manis, ia merupakan kemenangan pertama mereka di tanah air sendiri selepas kali terakhir memenanginya pada Cabaran Antarabangsa (IC) Malaysia 2016 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
“Saya boleh katakan, ia merupakan memori yang sangat manis untuk kami berdua Kerana saya melihat semua penonton berterima kasih kepada kami. Malah, keluarga saya sendiri berada di arena ini, menyokong kami,” tambah beliau.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan beregu profesional itu meraih gelaran keenam sejak digandingkan pada 2016 termasuk IC Malaysia (2016), Terbuka Scotland (2016), Terbuka Jerman dan Singapura (2018) serta Terbuka Switzerland Mac lalu.
Hasil kemenangan itu, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM156,095) berserta trofi manakala Rinov-Pitha berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,083) dan trofi.
Selepas ini, beregu No.18 dunia itu akan meneruskan saingan pada Terbuka Singapura minggu depan dan Terbuka Indonesia yang bermula 4 hingga 9 Jun nanti. – KOSMO! ONLINE