PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC mempamerkan belang sebenar selepas mudah menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium MB Petaling Jaya sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah kendalian Nidzam Jamil membariskan kesebelasan utama dengan jentera serangan dibarisi oleh Mukhairi Ajmal, Ronnie Fernandez dan Yohandry Orozco.
Bagaimanapun, penyudah pasukan tuan rumah dilihat agak tumpul pada awal 45 minit pertama apabila beberapa siri serangan yang cuba dilakukan tidak berjaya menembusi benteng Hobin Jang Hobin.
Situasi berbeza pada separuh masa kedua dengan pesta jaringan pasukan Merah Kuning bermula hasil penyudah menarik yang dipamerkan oleh Fernandez pada minit ke-56 selepas menerima umpanan Noor Al Rawabdeh.
Al Rawabdeh yang juga pemain tengah antarabangsa Jordan turut mencetak nama selaku penjaring selepas terkena tempias rembatan Orozco pada minit ke-67.
Orozco kemudian memastikan tiga mata menjadi milik Selangor dengan melebarkan gol ketiga tuan rumah berselang sembilan minit kemudian.
Pemain gantian, Reziq Bani Hani memastikan barisan import Selangor mengakhiri saingan dengan cemerlang apabila meledak gol keempat selepas menerima hantaran Mukhairi pada penghujung perlawanan.
Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Selangor meraih enam mata manakala NSFC kekal tanpa sebarang mata. – KOSMO! ONLINE