PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain akur dengan kekalahan ke atas Perak FC 0-2 dalam aksi Liga Super malam kelmarin, meskipun anak-anak buahnya telah mempamerkan aksi ‘luar biasa’.
Beliau berkata, pemain berjaya menguasai perlawanan termasuk melakukan serangan, namun gagal menghasilkan jaringan.
“Pasukan lawan dapat memanfaatkan peluang dengan menjaringkan dua gol tetapi kami gagal berbuat demikian walaupun pemain telah memberikan aksi luar biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.
Menurutnya, kekuatan Perak FC di bawah kendalian Yusri Che Lah dalam menahan serangan membuatkan gawang pihak lawan ‘kebal’.
“Gol pertama lawan begitu mudah terhasil dan tidak sepatutnya terjadi. Ia menyebabkan ketenangan kami sedikit hilang dan selepas itu pemain agak terburu-buru untuk mendapatkan gol penyamaan,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, beliau berpuas hati dengan aksi pertama ditunjukkan penyerang, Ebenezer Assifuah yang masuk menggantikan penyerang utama, Milos Gordic.
“Saya percaya untuk aksi akan datang dia akan lebih meningkat dan lebih bagus daripada segi permainan kerana dia adalah seorang pemain yang berkualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE