PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tambahan empat tren elektrik (ETS) melibatkan dua laluan Padang Besar-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
KTMB dalam kenyataannya berkata, tren tambahan bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral dan sebaliknya itu akan beroperasi bermula 13 hingga 18 Jun dan 21 hingga 23 Jun ini.
Sementara itu, bagi laluan Butterworth ke KL Sentral dan sebaliknya pula beroperasi dari 13 hingga 18 Jun.
“Sebanyak 9,450 tiket tren tambahan termasuk koc kelas perniagaan akan mula dijual pada Ahad (26 Mei) bermula pukul 3 petang.
“Penambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan tinggi semasa musim perayaan dan mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
Sehubungan itu, KTMB menyarankan orang ramai agar membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian terus menerusi laman sesawang rasminya.
“Pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir,” pesannya. – KOSMO! ONLINE