ALOR SETAR – Lelaki yang tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan yang menghidap paru-paru kronik menaiki motosikal bersama pasangan baru-baru ini tampil menafikan dakwaan mereka menghilangkan diri seperti yang dihebohkan siang tadi.
Mohd Azlan Ishak, 36, berkata meskipun mengakui tertekan dengan situasi ketika ini namun dia tidak pernah terfikir untuk melarikan diri sebaliknya hanya keluar rumah bagi menyelesaikan urusan perkahwinan.
Menurut Azlan, dia bersama pasangannya, Norhidayu Halim, 35, dan bayi mereka yang sakit keluar bersama dengan ditemani ibu bapa wanita terbabit bagi menyelesaikan urusan perkahwinan di pejabat agama.
“Kalau saya lari, siapa yang akan jaga mak saya yang lumpuh…sudah bertahun saya jaga mak saya tak akan saya senang-senang nak tinggalkan dia seorang diri di rumah.
“Sejahat-jahat saya pun..hati saya tak akan tergamak tinggal mak saya seorang diri,” ujarnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, dia bersama pasangananya dijangka akan dinikahkan paling cepat pada Selasa ini.
“Esok saya tak ada di rumah sebab nak pergi ke klinik kesihatan pemeriksaan HIV, orang tak kata saya lari lagi.
“Kalau boleh saya nak cepat-cepat selesaikan hal ini sebab lepas ini saya nak fokus jaga kesihatan anak dan mak saya pula,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE