Pernah mencapai berat 90 kilogram (kg), gadis Pesona Ahad minggu ini, Norashikin AhmadTarmizi, 25, yang mesra dipanggil Cici mengakui dirinya hilang keyakinan diri ketika dihantui masalah berat berlebihan.
Malah dia yang merupakan pencipta kandungan juga terpaksa menelan pelbagai kata-kata negatif termasuk layanan berbeza terutama daripada golongan lelaki selain kecederaan lutut ketika berusia 21 tahun.
Kepada Kosmo! Ahad, Cici yang bekerja sebagai jurutera berkongsi kisah dirinya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 25kg selain mengamalkan gaya hidup sihat dalam tempoh setahun.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri Cici?
Cici: Graduan jurusan Giofizik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan merupakan salah seorang pemimpin pelajar di kampus. Anak kesembilan daripada 11 beradik. Kini Cici bekerja sebagai ‘Geophysicist’ dan pengajar pilates serta pencipta kandungan secara sambilan.
Bagaimana bermula sebagai pempengaruh?
Pada mulanya hanya suka-suka. Namun selepas banyak muat naik berkaitan senaman di gimnasium dan segala hal yang menjurus ke arah kesihatan, saya mula mendapat perhatian.
Bagaimana imbangkan masa kerja dan senaman?
Disiplin kunci paling utama, kesihatan diri penting dan saya mahu kekal sihat tanpa menyusahkan orang lain apabila tua kelak. Saya habiskan satu jam sehari untuk bersenam dan menjadikannya sebagai aktiviti merehatkan minda daripada bekerja.
Pendorong utama dalam amalan gaya hidup sihat?
Berat saya pernah mencecah 90kg dan keadaan itu membuatkan saya hilang kenyakinan diri. Saya berjaya turunkan berat 25kg dalam masa setahun berkat disiplin tinggi.
Kongsi rutin harian Cici?
Saya workout hampir setiap hari termasuk angkat berat, pilates dan muay thai.
Ketika fasa menurunkan berat badan saya kurangkan makanan karbohidrat dan mengutamakan protein dalam setiap sajian makanan, tanpa perlu berlapar kerana saya pernah mengalami kerosakan kuku, keguguran rambut kerana makan kuantiti yang sedikit dan tidak bernutrisi.
Cantik bagi anda?
Mempunyai sosok tubuh yang sihat, muka berseri serta berpakaian sopan. Itu bermaksud wanita tersebut sangat menjaga kecerdasannya, pemakanan dan kehormatan.
Tips wanita kekal cantik dan aktif bagi Cici?
Kurangkan makanan manis, berminyak serta bersusu dan jika muka breakout akibat mencuba banyak produk kecantikan, mulakan semula dengan penjagaan asas kulit iaitu pencuci, pelembat dan sunscreen.
Ciri lelaki pilihan?
Lelaki yang manja, tidak cepat marah, beradab dan mempunyai pola pemakanan lebih kurang sama seperti saya.
Paling penting sekali, ciri lelaki pilihan saya yang sentiasa berusaha ke arah menambah balik kehidupan dan mempunyai tujuan hidup sama seperti saya.