fbpx

Belum sempat tunai haji, keluarga reda pemergian bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Shakila Abnil Hajar (kiri) di samping adiknya, Noor Ikma Juana, 43, menunjukkan gambar ibu bapa mereka sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 9 Mei lepas. Allahyarham Abnil Hajar (gambar kecil).

JITRA – Keluarga kepada bakal jemaah yang meninggal dunia di Mekah, Arab Saudi pada Jumaat lepas, Abnil Hajar Ismail, 72, reda dengan pemergian warga emas tersebut yang disifatkan mereka kematian yang dicemburui ramai.

Anak kedua Allahyarham Abnil Hajar, Noor Shakila, 49, memberitahu, jenazah bapanya itu selamat dikebumikan di Perkuburan Al Sharaya di Mekah kira-kira pukul 5.22 pagi semalam selepas solat subuh.

Katanya, kematian Allahyarham yang disebabkan pembuluh darah pecah pada bahagian abdomen itu sangat mengejutkan kerana arwah tidak mempunyai masalah kesihatan seperti itu.

“Kami reda walaupun semua masih bersedih dengan kematian ayah tetapi arwah meninggal dunia di Mekah ketika mengerjakan haji dan pada hari Jumaat. Hasil bedah siasat memaklumkan arwah meninggal akibat pembuluh darah pecah pada bahagian abdomen.

“Walaupun bersedih namun kami bersyukur kerana kematian yang baik seperti itu iaitu kematian yang dicemburui ramai,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya itu di Kampung Tanjong, Tunjang di sini hari ini.

Allahyarham Abnil Hajar.

Akhbar ini hari ini memaklumkan Abnil Hajar meninggal dunia ketika mendapat rawatan di King Abdullah Medical City Mekah pada pukul 10.30 malam pada 24 Mei lepas.

Menurut Noor Shakila, bapanya mengerjakan haji bersama ibu mereka, Saadiah Bakar, 72, yang berlepas ke Mekah pada 10 Mei lepas.

“Kali terakhir kami jumpa arwah pada 9 Mei sewaktu menghantarnya di Kepala Batas. Ayah sangat gembira apabila menerima panggilan haji selepas mendaftar pada 2009. Kami sering membuat panggilan video ketika mereka di Mekah dan ayah nampak sangat ceria. Mak juga beritahu ayah tiba-tiba jadi begitu bersemangat dan sihat berbanding ketika berada di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI