PORT MORESBY – Lebih 670 orang dipercayai maut selepas tanah runtuh melanda wilayah Enga, Papua New Guinea, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada AFP hari ini.
Perkara itu dijelaskan ketika pekerja bantuan dan penduduk kampung mengharungi keadaan berbahaya dalam pencarian mereka ke atas mangsa yang terselamat.
“Dianggarkan lebih 150 rumah tertimbus,” kata pegawai agensi migrasi PBB, Serhan Aktoprak sambil menambah, 670 lebih orang dianggap mati.
“Keadaan teruk dengan tanah masih menggelongsor. Air masih mengalir dan ini mewujudkan risiko besar untuk setiap orang yang terlibat,” tambah Aktoprak yang berpangkalan di Port Moresby.
Kampung lereng bukit yang dahulunya sibuk di wilayah Enga hampir musnah sepenuhnya apabila tanah runtuh melanda pada awal pagi kelmarin.
Ia menimbus banyak rumah beserta penduduk yang tidur di dalamnya.
“Orang ramai menggunakan kayu penggali, penyodok, alat pertanian yang besar untuk mengeluarkan mayat yang tertimbus di bawah tanah,” kata Aktoprak.
Tambah Aktoprak, lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat malapetaka itu, manakala ladang makanan dan bekalan air hampir musnah sepenuhnya.
Agensi bantuan dan pemimpin tempatan sebelum ini menganggarkan antara 100 hingga 300 orang terkorban dalam bencana itu.
Namun, angka kematian disemak semula apabila pekerja bencana di lapangan menyedari lebih ramai orang tinggal di kampung itu daripada yang dianggarkan pada awalnya. – AFP