JAKARTA – Perbuatan seorang wanita berulang-alik dari London ke Paris dengan mengemudi sebuah pesawat ringan semata-mata untuk menikmati makanan kegemarannya, krep menarik perhatian netizen, lapor akhbar Tribunnews kelmarin.
Lebih mengejutkan, wanita asal Indonesia bernama Abigail itu mengendalikan pesawat seorang diri.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @abigailmchel, Abigail dilihat santai mengendali pesawat tak ubah seperti memandu sebuah kereta.
“Orang kurang waras mana terbang sendirian dari London ke Paris hanya untuk makan krep,” kata Abigail.
Setelah puas makan krep, dia bersiar-siar di tepi pantai sebelum terbang pulang ke London.
Abigail merupakan seorang pelajar di sebuah institusi di London untuk menjadi seorang juruterbang.
Jarak perjalanan udara dari London ke Paris ialah sekitar 343 kilometer. – AGENSI