PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di hampir seluruh negara terutamanya Lembah Klang sehingga 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk dengan taburan hujan lebat berserta angin kencang dijangka melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang).
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka di negeri Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
“Di Perak pula, ribut petir dijangka tertumpu di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar dan Batang Padang serta Tanah Tinggi Cameron dan Rompin di Pahang,” katanya.
Selain itu, ribut petir berserta angin kencang turut diramalkan di Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) menjelang malam ini.
Dalam pada itu, di Sarawak iaitu Kuching (Bau dan Lundu), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan) dan Limbang, turut terkesan dengan cuaca buruk sama.
“Di Sabah pula, cuaca hujan berserta ribut petir turut tertumpu di Pedalaman (Sipitang dan Beaufort), Sandakan (Tongod, Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat sehingga 9 malam ini,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE