fbpx

[VIDEO] Sepak Takraw: Kasut Vans pilihan Farhan jadi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARHAN (duduk, kiri) mempunyai alasan tersendiri menggunakan jenama kasut yang tidak begitu sinonim dalam dunia sepak takraw. - FB PSM

KUALA LUMPUR – Selain aksi memukau yang dipamerkan pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, pemain apit kiri kebangsaan, Farhan Adam berjaya mencuri perhatian para peminat apabila mengenakan jenama kasut yang tidak begitu sinonim dengan sukan tersebut.

Pemain berpengalaman itu dilihat mengenakan kasut berjenama Vans yang berasal dari Aneheim, California, Amerika Syarikat berbanding  para pemain lain yang lebih selesa menggunakan kasut keluaran Nanyang atau Pallas, malah Farhan menjadi pemain tunggal pada saingan kali ini menggunakan jenama berkenaan.

Farhan yang tidak menerima sebarang tajaan daripada pengeluar kasut terkemuka dunia tersebut mengakui, tidak berniat untuk mempromosi Vans sebaliknya hanya mahu menghargai kakinya yang telah banyak memberi jasa terutama mencipta kejayaan dalam karier sepak takraw.

“Sebenarnya ada bekas-bekas pemain di luar sana ‘request’ kepada saya tukar kepada kasut Vans. Lagi satu, mereka juga beri pendapat kepada saya bahawa kaki saya sudah banyak bagi rezeki dan banyak bantu saya.

“Saya fikir, ada betul juga kata mereka. Takkan saya nak bagi (kasut) biasa-biasa dan saya kena bagi sesuatu yang luar biasa kepada dia (kaki).

“Pada mulanya, agak tidak selesa, tetapi lama kelamaan saya sudah terbiasa menggunakannya dan kasut ini juga saya jadikan ‘trademark’ setiap kali saya diturunkan dalam perlawanan,” katanya ketika ditemui di selepas menewaskan India 2-0 sekali gus mara ke pentas separuh akhir.

Ketika ditanya adakah dia sedia menerima tawaran Vans untuk menjadi duta, Farhan berkata sekiranya ada tawaran dia akan mempertimbangkannya.

“Kalau ada, syukur Alhamdulilah kerana saya juga tidak ada minta apa-apa dari Vans. Jika ada bersyukur sangat-sangat. Jika Vans bagi peluang kepada saya, saya dengan rela hati terbuka menerimanya. Orang dulu-dulu kata, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI