fbpx

Perodua Bezza langgar lori sebelum dirempuh Honda Civic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Mohd. Fahimi diangkat ke dalam van jenazah di Jabatan Forensik Hospital Taiping hari ini.

TAIPING – Kemalangan maut di Kilometer 262.5 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Utara semalam berlaku ekoran sebuah lori yang berada di lorong kiri jalan dilanggar oleh Perodua Bezza kira-kira pukul 11.10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, sejurus pelanggaran itu berlaku, sebuah Honda Civic dari arah belakang yang dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Bezza terbabit.

“Akibat kemalangan ini, tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Taiping. Pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu dan penumpang kereta Perodua Bezza iaitu pasangan suami isteri telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpang kanak-kanak mengalami kecederaan. Dua daripadanya parah dan seorang cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, pemandu Honda Civic mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tangan kanan, seorang penumpang dewasa iaitu ibu pemandu telah meninggal dunia manakala dua orang penumpang kanak-kanak tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pada masa sama, beliau memberitahu, siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kemalangan telah berlaku pada hari sama kira-kira pukul 10.30 malam akibat keadaan lokasi yang gelap dan tiada lampu jalan.

“Pihak polis menasihatkan orang supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kemalangan dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, abang kepada salah seorang mangsa, Shahrozal Shaffie, 40, mengesahkan pasangan suami isteri terbabit kemalangan itu adalah adiknya, Mohd. Fahimi, 36, dan pasangan, Nor Aserah Ismail, 36.

Menurutnya, ketika kejadian itu berlaku, Allahyarham adiknya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah ibu mereka di Kampung Batu 8, Trong di sini.

“Ibu mahu menunaikan haji dan dijadualkan menaiki penerbangan ke Tanah Suci Mekah pada 31 Mei ini, jadi adik dan keluarganya mahu mengunjungi ibu sebelum dia berlepas.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan semalam bahawa adik terlibat dengan kemalangan, dengan lokasi ia berlaku kira-kira 5km dari susur keluar Trong,” katanya.

Menurutnya, adiknya sebelum ini bertugas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan namun telah berpindah ke MRSM Bagan Datuk sejak Februari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI