MISI besar digalas jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly menjelang temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos hingga 8 September depan.
Atlet berusia 27 tahun itu melaungkan keazaman untuk merangkul pingat emas ketiga berturut-turut pada temasya sukan terbesar dunia berkenaan selepas rasmi melayakkan diri secara merit.
Sasaran diletakkan itu boleh dianggap logik berdasarkan reputasinya selaku pemegang rekod dunia lompat jauh kategori T20 dengan jarak lompatan 7.64 meter (m) yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
“Pertama sekali saya bersyukur Alhamdulillah kerana dapat melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024 secara merit. Sasaran di Paris sudah semestinya untuk melakukan hatrik pingat emas.
“Pada masa sama, saya juga menggalas misi untuk memperbaiki catatan peribadi pada temasya sukan tersebut. Saya harap dapat melakukan yang terbaik di sana nanti,” katanya.
Sebagai rekod, Latif merupakan juara bertahan Paralimpik untuk dua kali berturut-turut selepas memenangi pingat emas ketika menyertai edisi 2016 di Rio, Brazil serta Tokyo 2020.
Terdahulu, atlet kelahiran Perlis itu memastikan kelayakan ke Paralimpik Paris selepas memenangi pingat emas ketika menjuarai Kejohanan Olahraga Para Dunia di Paris, Perancis tahun lalu menerusi catatan 7.40m.
Berdasarkan peraturan ditetapkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, atlet yang menamatkan kejohanan dunia dalam kelompok empat teratas akan melayakkan diri secara automatik ke Paralimpik Paris 2024.