fbpx

Malaysia selangkah bergelar ‘Raja’ sepak takraw dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN negara terus membuktikan mereka pasukan sepak takraw yang digeruni selepas melangkah ke pentas final apabila menewaskan Indonesia dengan keputusan 2-0.

KUALA LUMPUR – Percaturan jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun menurunkan regu terbaiknya pada aksi separuh akhir di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 benar-benar memukau sejurus ‘melibas’ Indonesia dengan kemenangan bersih 2-0 sekali gus menempah tiket ke pentas final.

Kemenangan di Stadium Titiwangsa tersebut memastikan Malaysia semakin hampir menamatkan kemarau 33 tahun untuk menjuarai acara regu berpasukan selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 1991 di Sukan SEA Manila.

Kemenangan tersebut melonjakkan semangat pasukan sepak takraw negara untuk memburu kejuaraan hatrik sejurus menjuarai dalam acara double dan regu itu pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, Malaysia perlu waspada apabila mereka akan berdepan Thailand, selepas skuad ‘Gajah Perang’ itu ganas membenam cabaran Korea Selatan menerusi kemenangan mudah 2-0.

SKUAD sepak takraw negara akan berdepan Thailand esok di pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, dia mahu pemain negara terus fokus dan berjuang habis-habisan agar penantian untuk menamatkan kemarau 33 tahun mampu dileraikan.

“Sasaran tepat kita mara ke final dalam tiga acara di Piala Dunia, esok bertemu Thailand kita masih lagi 50-50 biarpun berjaya mengejutkan mereka dalam acara double dan regu. Kita harap pemain dapat lakukan yang terbaik.

“Misi kita juga adalah untuk menamatkan penantin 33 tahun tidak pernah tewaskan Thailand dalam acara berpasukan dan kita harapkan hari bersejarah itu akan hadir esok dengan prestasi terbaik pemain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai soal ganjaran, Sumali memaklumkan akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai bonus kepada semua pemain yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Bonus semestinya ada, Insya-Allah saya akan bincang dengan menteri untuk hargai pemain negara selepas muncul juara dalam acara double dan regu,  seterusnya acara berpasukan, cuma saya harapkan pemain dapat fokus kepada permainan dahulu,” katanya.

Pada saingan tersebut, Biarpun Indonesia turun dengan misi membalas dendam ekoran kekalahan mereka di pentas final acara regu di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 namun usaha tersebut terbantut kerana gagal mengekang aksi terbaik pasukan Malaysia.

Sorakkan padu penonton Malaysia yang menggegar Stadium Titiwangsa ternyata memberi kesan mendalam kepada persembahan skuad Indonesia terutama selepas mereka tumbang straight set 12-15, 9-15 kepada regu Malaysia yang dianggotai Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin.

Tindakan Ahmad Jais memasukan regu emasnya yang dianggotai tekong negara, Syahir Rosdi, Farhan Adam dan perejam terbaik dunia, Azlan Alias memastikan malam ini milik Malaysia selepas menewaskan regu Indonesia, yang dibarisi tekong terbaiknya, M Taufik R, M Hardiansyah Muliang dan Rosdi menerusi kemenangan straight set 15-8, 15-7. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI