MEKAH – Keupayaan dan kemampuan Malaysia dalam aspek pengurusan haji terbukti selepas berjaya menjadi negara pertama memperoleh kelulusan pengoperasian unit ambulans.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kebenaran yang diperoleh menerusi permit operasi atau Tasreh itu sekaligus membolehkan 20 ambulans di bawah Pusat Rawatan Tabung Haji diatur gerak pada bila-bila masa.
“Alhamdulilah kebenaran ini sekaligus membenarkan semua ambulans milik kita untuk dioperasi pada bila-bila masa dengan tiga buah (ambulans) ditempatkan di Madinah.
“Manakala baki 17 lagi ditempatkan di Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah dan penempatan utama di sekitarnya” katanya kepada media semalam.
Tambah Syed Saleh, permit Tasreh tersebut diperoleh sebaik rombongan perubatan tiba di Mekah dan Madinah.
“Permit yang diberi oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi terbahagi kepada dua iaitu permit asas dan sokongan nyawa termaju.
“Dengan perolehan permit ini, semua ambulans kita mempunyai keupayaan untuk menyelamatkan nyawa dari segi kelengkapan dan pasukan paramedik,” jelasnya.
Menurut Syed Saleh lagi, permohonan untuk mendapatkan permit ini mengambil masa yang agak lama serta perlu melalui proses pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh kerajaan Arab Saudi.
Sementara itu, Syed Saleh mengulas mengenai statistik jemaah haji yang dimasukkan ke hospital berkata,seramai 29 pesakit sedang dirawat di Mekah dan Madinah.
“Dari jumlah ini, seramai tujuh orang berada di Hospital Arab Saudi manakala 21 orang berada di Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah dan seorang di Madinah.
“Kebanyakan mereka dimasukkan ke Pusat Rawatan Tabung Haji disebabkan pelbagai penyakit terutamanya jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) dan lain-lain penyakit seperti komplikasi darah tinggi, kencing manis dan penyakit berkaitan haba. Namun, kesemua jemaah pesakit ini dalam keadaan stabil,” katanya. – KOSMO! ONLINE