fbpx

Malaysia Masters: Soon Huat-Shevon buru hadiah perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOON HUAT (kiri) menjerit kepuasan selepas dia dan Shevon mara ke perlawanan akhir Malaysia Masters menewaskan Tang Jie-Ee Wei. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memasang hasrat untuk ‘berbulan madu’ di Axiata Arena, Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters esok.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, pasangan suami isteri itu menempah slot ke perlawanan akhir selepas menewaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-11, 21-19.

Shevon tanpa berselindung mengakui, gelaran pada kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu akan menjadi hadiah perkahwinan berharga buat mereka selepas majlis resepsi yang dilangsungkan 4 Mei lalu.

“Sudah tentu ia (kejuaraan) akan menjadi hadiah perkahwinan paling berharga kerana kami tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Thailand minggu lalu, seminggu selepas majlis perkahwinan.

“Kali ini kami layak ke perlawanan akhir di laman sendiri dan sudah tentu gelaran akan menjadi hadiah paling berharga. Boleh berbulan madu dengan semua orang di Axiata Arena,” katanya berseloroh ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Menerusi kemenangan itu, Soon Huat-Shevon dijadualkan menentang beregu Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari yang menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark 26-24, 14-21, 21-18.

Sementara itu, Soon Huat menjelaskan, mereka mengambil kesempatan atas aksi emosi yang ditunjukkan Tang Jie-Ee Wei pada perlawanan tersebut, terutamanya ketika di penghujung set kedua.

“Saya tahu semua pemain nak menang dan boleh nampak mereka (Tang Jie-Ee Wei) emosi. Bagaimanapun, kami dapat kawal emosi dan pemikiran, itu perkara paling penting untuk kami hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI