KAJANG – Lima sekawan nyaris maut apabila kenderaan dinaiki terbabas dengan sendiri dalam kejadian di Kilometer 302 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan tersebut sekitar pukul 6.04 pagi tadi.
Katanya, sebanyak tujuh anggota lain-lain pangkat serta dua buah jentera keluar Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi mendapati, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza yang terbabas melanggar pembahagi jala. Turut terlibat dua wanita serta tiga lelaki lingkungan 20-an.
“Dipercayai kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalan pulang daripada Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mukhlis, kelima-lima mangsa diberikan rawatan awal namun tiada diantara mereka yang cedera parah.
“Rentetan itu, tiga mangsa (lelaki) dibawa dikejarkan ke Hospital Serdang manakala dua lagi wanita diserahkan kepada petugas kesihatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.