LONDON – Pelumba berusia 21 tahun, Emma Finucane dijangka menjadi pencabar utama dalam sukan berbasikal trek pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai ini.
Status juara dunia dalam acara sprint yang dirangkulnya di Glasgow, Scotland tahun lalu dan pingat emas Kejohanan Eropah di Apeldoorn, Belanda meletakkannya sebagai pelumba yang harus diberikan perhatian.
Biarpun bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, namun pasukan Great Britain meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk ‘meletup’ di kota Paris nanti.
Finucane mengakui, melangkah ke Olimpik adalah impiannya sejak kecil sekali gus bertekad untuk memberikan yang terbaik selepas terpilih mewakili negaranya.
“Saya berazam untuk pergi ke Sukan Olimpik sejak berumur kira-kira 10 tahun, saya menonton Sukan Olimpik London (2012) di Perancis bersama keluarga dan melihat (Great) Britain benar-benar luar biasa dan memenangi segala-galanya.
“Saya ingin pergi Olimpik tetapi saya tidak tahu bila. Saya hanya seorang pelumba endurance dan kini segalanya berubah apabila saya menyertai pasukan trek.
“Jadi ya, ini adalah impian saya dan saya ingin menikmati perjalanan di Olimpik. Sebagai pasukan pecut wanita (Great) Britain, saya rasa kami sudah bersedia memberikan segalanya di Paris nanti,” ujarnya. – AGENSI