BALIK PULAU – “Saya cuba masuk tiga kali untuk selamatkan ibu, abang dan adik namun gagal kerana asap terlalu tebal.”
Demikian menurut mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, 29, yang hilang tiga ahli keluarganya dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Utama, Kampung Paya Kongsi di sini, pagi tadi.
Kebakaran itu telah menyebabkan ibunya, Nurul Bowjiya, 58, abang, Muhamad Ibrahim,33, dan adik perempuannya, Rahbiah Jasmin,20, terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu.
Menceritakan kembali detik cemas itu, Rashid berkata, kebakaran berlaku terlalu pantas dan ketika kejadian dia, abang serta adik perempuannya berada di tingkat atas rumah kedai berkenaan.
“Ibu saya berada di tingkat bawah ketika itu, dan dia menjerit asap, saya dan abang terus turun ke tingkat bawah.
“Asap bermula dari depan kedai kami, ibu cuba ambil air untuk padamkan api dan ketika itu ibu sedar bahawa adik perempuan saya masih berada di tingkat atas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Balik Pulau, hari ini.
Menurutnya, sebaik sahaja menyedari adik perempuannya masih berada di tingkat atas, ibunya terus naik ke tingkat atas rumah tersebut untuk menyelamatkan adiknya.
“Selepas itu abang saya turut naik bersama ibu, saya turut cuba naik ke tingkat atas namun cubaan pertama gagal, saya cuba kali kedua namun asap tebal membuatkan saya batuk-batuk.
“Saya cuba lagi kali ketiga untuk naik selamatkan ibu, abang dan adik namun asap terlalu tebal sehingga saya hampir pitam,” katanya
Rashid berkata, rumah kedai tersebut adalah warisan daripada datuknya dan keluarga mereka berniaga peralatan rumah seperti tikar, karpet dan sebagainya di kedai itu sejak lebih 20 tahun lalu.
“Saya masih buntu fikirkan masa depan, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan semuanya berlaku sekelip mata. Saya tinggal sebatang kara sekarang saya tiada saudara mara lain di sini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE