PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa buah lebuh raya utama mula sesak susulan peningkatan jumlah kenderaan sempena cuti sekolah penggal pertama yang bermula hari ini.
Semakan Kosmo! di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak disebabkan aliran trafik tinggi.
Menurutnya, pengguna mungkin terpaksa menghadapi kesesakan selama satu jam ketika melalui Lebuh Raya KLK dari Gombak ke Genting Sempah.
Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan, trafik dilaporkan sesak sepanjang tiga kilometer dari Seremban ke Port Dickson.
“Selain itu, terdapat sebuah treler rosak di KM 169.7 arah utara dari Bandar Baharu ke Jawi yang menyebabkan lebuh raya sesak.
“Difahamkan, lorong kiri terhalang dan trafik perlahan di lokasi. Berhati-hati memandu. Sila fokus pada pemanduan,” katanya.
Dalam pada itu, LLM turut melaporkan aliran trafik perlahan di KM 448.6 arah selatan dari Rawang Selatan ke Hospital Sungai Buloh.
“Lorong kiri perlahan disebabkan sebuah lori rosak. Segala kesulitan yang dihadapi ketika ini amatlah dikesali,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik. – KOSMO! ONLINE