PETALING JAYA – Semua pihak diseru supaya sentiasa komited membangunkan nilai akhlak serta modal insan masyarakat termasuk dalam program-program hiburan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebarang bentuk program hiburan yang bertentangan dengan nilai akhlak serta budaya ketimuran perlu dielakkan sama sekali.
“Secara asasnya hiburan itu adalah sesuatu yang dibenarkan dalam agama Islam kerana ia adalah sebahagian fitrah insan.
“Pengisian hiburan tersebut perlulah bersesuaian serta tidak melampau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mohd. Na’im berkata, Malaysia mempunyai agenda besar iaitu membangun masyarakat yang menghayati nilai-nilai madani.
Kata beliau, bagi menjayakan cita-cita mulia itu, ia memerlukan kerjasama dan kesepaduan tindakan semua pihak.
“Apa juga yang dilakukan pada hari ini akan memberikan kesan kepada generasi akan datang,” katanya.
Baru-baru ini kecoh di media sosial memaparkan sebuah acara hiburan atau parti liar berlangsung dalam gerabak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Program tersebut mendapat kecaman hebat dalam kalangan orang ramai dan rata-rata tidak bersetuju dengan penganjurannya. – KOSMO! ONLINE