ATLET lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mendapat suntikan motivasi menjelang temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 apabila meraih pingat emas buat kali keempat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia semalam.
Pada kejohanan yang berlangsung di Kobe, Jepun itu, Latif memastikan kemenangan menerusi catatan peribadi terbaiknya musim ini 7.30 meter (m) bagi memenangi kategori T20.
Pemegang rekod dunia menerusi catatan 7.64m itu percaya, kemenangan yang diraih menaikkan lagi semangat serta tahap keyakinan dalam misi memburu hatrik pingat emas pada saingan Paralimpik nanti.
Mengiringi Latif di podium semalam adalah atlet Ecuador, Chala Espinoza yang melakukan catatan 6.95m meraih perak, manakala Jhon Sebastian Obando Asprilla dari Colombia memenangi gangsa (6.84m).
Sementara itu, dua lagi atlet negara, iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli (T20) dan seorang lagi atlet lompat jauh, Nazmi Nasri (T37) turut memenangi emas pada kejohanan tersebut. – KOSMO! ONLINE