KLUANG – Hidup dalam kesusahan selain perlu bertanggungjawab menjaga keluarga tidak sedikipun menghalang tekad seorang ibu tunggal dari Taman Kaseh di sini untuk merawat anaknya yang koma akibat kemalangan sejak tujuh tahun lalu.
Shapidah Shahid, 50, berkata, dia yang hanya berniaga makanan sejuk beku selain menjual juadah sarapan pagi dengan pendapatan hanya kira-kira RM500 sebulan memerlukan perbelanjaan perubatan bulanan lebih RM1,000 untuk anak lelakinya, Mohd. Zaki Hanapi, 23.
Katanya, walaupun mendapat bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing RM500 sebulan, ia masih belum cukup untuk menampung keperluan kesihatan anaknya itu.
“Anak saya koma selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada usia 16 tahun dan sejak daripada itu, dia hanya mampu terbaring sehingga kini.
“Untuk perbelanjaan membeli susu khasnya sahaja memerlukan RM1,060 sebulan dan jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan lain seperti lampin pakai buang, tisu basah, minyak urut, picagari dan ubat cuci luka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kaseh di sini.
Menurut Shapidah lagi, jumlah itu belum dikira perbelanjaan menukar tiub salur makanan tiga bulan sekali serta tiub membuang kahak atau pernafasan enam bulan sekali selain tambang ambulan untuk rawatan susulan di Hospital Kluang.
Ujarnya, dia juga perlu melangsaikan wang pembayaran rumah sebanyak RM220 sebulan selain bil elektrik dan air berjumlah kira-kira RM200 sebulan.
“Bil elektrik agak tinggi kerana saya perlu menggunakan pendingin hawa bagi kegunaan anak yang sakit.
“Apa yang patut dilakukan hanyalah bergantung harap kepada anak bongsu berusia 20 tahun yang bekerja secara sambilan di kedai-kedai makan berhampiran rumah untuk menyara kehidupan kami berdua kerana semua duit yang ada dikhususkan untuk kegunaan Zaki.
“Saya bukan mahu meraih simpati, namun selagi hayat dikandung badan, dia (Zaki) tetap akan diberikan rawatan sebaiknya dengan harapan dia kembali sihat walaupun hanya sekadar pulih daripada koma,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin tampil meringan beban yang ditanggung boleh menghubungi Shapidah di talian 011-51728056 atau terus menyumbang ke nombor akaun Maybank miliknya 151061131296.