PETALING JAYA – Dituduh masih melakukan semua perkara sendirian tanpa bantuan suami, pelakon Shakilla Khoriri tampil ‘sekolahkan’ seorang individu yang menuduh kehidupannya kini sama seperti ketika bergelar ibu tunggal.
Shakilla atau nama lengkapnya Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, 34, berkata, dia merupakan wanita berdikari yang lebih selesa menguruskan hal tertentu secara solo tanpa menyusahkan orang lain mahu pun teman hidup sendiri.
“Tangan itu nak kena kerat, suka-suka sahaja menaip. Awak ini macam tahu kehidupan saya cakap dulu pun sama kena buat sendiri.
“Macam inilah nak beritahu. Takut orang cakap suami baru saya tidak membantu. Jangan salah faham dengan hantaran orang.
“Kalau sesiapa kenal saya, saya manusia yang buat kerja sendiri. Bukanlah manusia atau isteri yang suka merengek minta bantuan suami macam nak mati tidak boleh buat semua,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Selain itu, pelakon filem Adnan Semp-It itu turut menasihati individu terbabit untuk mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata negatif agar tidak menjadi ikutan anak.
“Saya suka buat benda itu (cuci rumah) jadi saya muat naik dalam media sosial.
“Kalau saya muat naik gambar suami orang cakap saya mahu berlawan pula. Jangan macam itu.
“Kita ada anak-anak, kawallah. Saya mahu sarapan dan pergi kedai untuk cuci lantai lagi,” jelasnya.
Sebelum ini, Shakilla memuat naik video sedang mencuci sebuah kawasan yang dipercayai kedai miliknya.
Melihatkan keadaan Shakilla mencuci kedai tersebut membuatkan seorang individu tampil mendakwa kehidupan ibu kepada seorang cahaya mata itu tetap sama seperti ketika bersama bekas suami. – KOSMO! ONLINE