fbpx

Pendidikan tinggi di Malaysia makin dapat perhatian negara lain – KPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry ketika mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawat semasa menghadiri The Education World Forum (EWF) 2024 di London, United Kingdom.

PETALING JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa pengantarabangsaan Malaysia dalam pendidikan tinggi di peringkat global semakin mendapat perhatian daripada negara lain dan akan terus diperkasakan.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, langkah tersebut akan dilakukan menerusi kerjasama dengan beberapa negara antaranya Tarjikistan, Azerbaijan, Jepun, Microsoft dan Konsortium Universiti United Kingdom-Malaysia (UK-MUC).

Beliau berkata, kerjasama tersebut dijalinkan selepas beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan ketika menghadiri The Education World Forum (EWF) 2024, London, United Kingdom.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Sains Tarjikistan, TYT Nuriddin Said, beliau menyatakan hasrat bekerjasama dengan Malaysia untuk menaik taraf bidang pendidikan mereka.

“Pada masa sama, program pertukaran pelajar akan diteruskan yang mana jumlah pelajar Tarjikistan kini lebih 200 orang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Azerbaijan, TYT Emin Amrullayev menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan untuk menghantar lebih ramai pelajarnya bagi menyambung pengajian.

Jelasnya, lawatan lawatan Perdana Menteri ke negara Asia Tengah juga telah membuka ruang untuk negara-negara lain di sekitar dalam bekerjasama dengan Malaysia menerusi pelbagai bidang bersandarkan keyakinan dan kualiti yang dibawa delegasi Malaysia.

“Azerbaijan juga dalam usaha membangunkan semula pendidikan tinggi mereka di kawasan Karabakh dan mereka turut menyatakan harapan sekiranya Malaysia dapat turut membantu dan berkolaborasi dalam hal ini.

“Dalam pertemuan saya dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, beliau menyatakan kesediaan mereka untuk berkongsi pengalaman dalam perihal Programme for International Student Assessment (PISA).

“Kami juga berbincang untuk melihat dan memartabatkan semula kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kolaborasi antara institusi Malaysia dan Jepun,” katanya.

Sementara itu kata Zambry, pertemuan dengan pihak Microsoft pula menjurus kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI).

“Peluncuran Malaysia AI Nexus mendorong Microsoft untuk terus bekerjasama secara aktif dengan Malaysia melalui KPT.

“Kerjasama pendidikan antara United Kingdom dan Malaysia terus diperkukuhkan melalui UK-MUC dengan pelbagai program peringkat tinggi terus direncanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI