PETALING JAYA – Pembuat upholsteri automotif, Pecca Group Berhad (Pecca) berada di landasan tepat untuk mencapai satu lagi rekod pendapatan tahunan setelah berjaya mengatasi jumlah keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2023 dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024.
Pecca mencatat keuntungan bersih sebanyak RM40.5 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024, sebahagian besarnya disumbang oleh jualan dengan margin lebih tinggi dan sumbangan teratas lebih kukuh daripada Malaysia dan pasaran Asia lain.
Angka tersebut mewakili lonjakan 59.8 peratus tahun ke tahun atau peningkatan sebanyak RM15.1 juta.
Pegangan tunai Pecca turut mencecah RM140 juta untuk kali pertama, sebahagian besar daripadanya disebabkan aktiviti operasi.
Sementara itu, hasil meningkat sebanyak RM21.4 juta atau 12.8 peratus tahun ke tahun kepada RM188.3 juta dalam tempoh sembilan bulan.
Kenaikan hasil diterajui oleh peningkatan jualan daripada subsegmen penutup tempat duduk kereta pengeluar peralatan asal (OEM), yang meningkat sebanyak 20.4 peratus tahun ke tahun kepada RM150.3 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee berkata, dengan jualan kenderaan di Malaysia diramalkan melebihi 700,000 unit pada 2024 untuk tahun ketiga berturut-turut, Pecca berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada peningkatan jualan penutup tempat duduk kereta.
Jelasnya, dalam subsegmen Pengilang Peralatan Penggantian (REM), pihaknya berusaha keras untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dengan berkembang ke pasaran baharu seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Singapura dan Eropah.
“Tahun ini, kami berhasrat untuk membuat pelancaran produk utama dan meningkatkan aktiviti pemasaran dan pembinaan jenama kami.
“Kami terus mencatat kemajuan pada kilang kedua kami di Taman Pembuatan Bernilai Tinggi UMW di Serendah, Selangor.
“Selepas kilang baharu ini berada secara dalam talian pada tahun 2025, ia akan menggandakan kapasiti pengeluaran kami, membolehkan kami memenuhi permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu, termasuk pelanggan dari segmen penerbangan,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE