KUALA LUMPUR — Meskipun tersenarai dalam gerakan Blockout 2024 selepas didakwa terbabit dengan jenama pro-Israel, pelakon Meerqeen menegaskan tidak pernah mengabaikan situasi getir yang menimpa penduduk Palestin.
Ujar Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, dia tetap cakna bahkan menyumbang kepada Palestin, namun merasakan tiada keperluan menguar-uarkan kepada khalayak.
“Mungkin siapa yang tak ikut saya, tak tahu apa saya buat selama ini. Saya tetap menyokong Palestin dan beri sumbangan kepada penduduk di sana. Buat apa saya hendak menunjuk perkara itu kepada umum.
“Kadang-kadang sebagai manusia kita sibuk dengan kerja dan tak tengok telefon bimbit sangat. Tapi, apapun pengikut saya tahu apa pegangan saya dalam isu ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu, sebagai masyarakat Melayu Islam, dia seharusnya menyatakan sokongan kepada Palestin dan memohon maaf andai tindakannya sebelum ini mengguris perasaan ramai pihak.
“Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya, tiada Melayu Islam yang menyokong Israel. Saya minta maaf sekiranya perkara ini membuatkan segelintir pihak tidak senang.
“Sejak 2022 saya bersuara mengenai isu Palestin dan selalu berkongsi di media sosial. Saya juga menyumbang untuk saudara kita di sana,” katanya pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, semalam.
Mengulas mengenai kontrak bersama jenama pro-Israel, Meerqeen berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.
“Kontrak masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan kerana ada beberapa kontrak yang saya masih tengok lagi,” katanya.
Sebelum ini, wujud gerakan Blockout 2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Selain Meerqeen, antara selebriti Malaysia yang disenaraikan ialah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari dan Scha Alyahya. — KOSMO ONLINE