HULU SELANGOR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini menetapkan 30 Mei bagi pertuduhan semula seorang lelaki warga emas yang mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan tertuduh P. Ramasamy, 66, tidak dikemukakan di mahkamah, hari ini dan memohon satu tarikh sebutan ditetapkan.
“Mahkamah ambil maklum bahawa permohonan semakan tertuduh di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) bertarikh 23 Mei telah dibenarkan. Sabitan dan hukuman diketepikan.
“Untuk kes ini (pertuduhan semula) mahkamah menetapkan 30 Mei untuk sebutan bagi kehadiran tertuduh,” kata Hakim Siti Fatimah.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan memberitahu kepada mahkamah, tertuduh tidak dikemukakan di mahkamah hari ini dan pendakwaan memohon satu tarikh sebutan bagi pertuduhan dibacakan semula terhadap Ramasamy.
Mendengar perkara itu, peguam Pavitra Loganathan yang mewakili Ramasamy mengesahkan anak guamnya masih berada di Penjara Kajang namun pada hari ini keberadaanya tidak dapat dipastikan.
Pada 6 Mei lalu, Ramasamy dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Namun semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kes Ramasamy dikembalikan semula untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret KKB.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, memutuskan demikian selepas meneliti hujahan daripada Ramasamy selaku pemohon yang memfailkan semakan kehakiman bagi keputusan terhadapnya.
Dalam penghakimannya ketika membenarkan semakan kehakiman Ramasamy selaku pemohon semalam, Wendy Ooi berkata pengakuan salah Ramasamy ditolak kerana disifatkan pengakuan bersyarat berikutan warga emas itu.
Mengikut pertuduhan lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).
Perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK Kuala Kubu Baharu.
Kesalahan tersebut dilakukan dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE