PETALING JAYA – Skuad hoki dalam dewan lelaki negara perlu menyerap segala tekanan daripada Iran dalam aksi terakhir malam ini dalam misi menempa tiket ke pentas final Piala Asia Hoki Dalam Dewan yang sedang berlangsung di Taldykorgan, Kazakhstan.
Jika berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan itu, ia secara tidak langsung bakal melayakkan skuad negara ke pentas Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia, sekali gus mencipta sejarah baharu arena hoki tanah air.
Ketua jurulatih skuad negara, Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi mengakui, mereka kini sedang melakukan persiapan terbaik biarpun menyedari Iran bukan lawan mudah, apatah lagi turut memegang status juara Asia lapan kali berturut-turut.
“Alhamdulillah barisan kejurulatihan sangat berpuas hati dengan kemenangan yang cukup penting ini. Dari sudut permainan hari ini (semalam), terdapat kesilapan-kesilapan yang masih berlaku dan pemain perlu mengurangkannya.
“Untuk aksi terakhir pusingan kedua esok (malam ini), kami akan bertemu Iran yang merupakan pasukan kuat selain mempunyai pengalaman bermain di Piala Dunia.
“Aksi esok (malam ini) pastinya pemain akan turun bermati-matian dan memberikan segalanya bagi meraih keputusan positif untuk memastikan Malaysia ke pentas final sekali gus layak ke Piala Dunia 2025,” katanya.
Malaysia membawa bekalan keyakinan terbaik selepas menumpaskan Thailand 5-2 kelmarin menerusi dua jaringan Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan masing-masing satu daripada Muhamad Izham Azhar, Abdul Khaliq Hamirin serta Faridzul Afiq Mohd.
Sebagai rekod, Malaysia turun pada edisi kali ini sebagai juara bertahan selepas berjaya menamatkan dominasi Iran menerusi kemenangan 3-2 melalui penentuan shoot-out setelah terikat 4-4 sewaktu final dua tahun lalu yang diadakan di Bangkok, Thailand. – KOSMO! ONLINE