PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 14 laporan polis setakat pukul 6 petang tadi berhubung penulisan kolumnis, Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengamalkan sistem aparteid.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, pihak polis sedang memohon profiling daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan butiran penulis artikel terbabit untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Sharulutfi Sharis telah membuat laporan polis terhadap Andrew Sia, semalam setelah menggelar UiTM sebagai ‘akademi aparteid’.
Menurut Sharulutfi, artikel berkenaan tidak adil, prejudis dan boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu.
Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr. Muhamad Akmal Saleh mendesak kolumnis, Andrew Sia, memohon maaf secara terbuka berhubung penulisannya yang mengguris hati orang Melayu.
Sehubungan itu, Pemuda Umno seluruh negara akan digerakkan untuk membuat laporan polis berhubung penulisan yang dianggap dangkal dan bersifat perkauman itu. – KOSMO! ONLINE.